Sunday, May 24, 2015

Video Animasi Permainan Baling Selipar


Video ini memaparkan permainan baling selipar yang menjadi kegemaran kanak-kanak dan bagaimana cara mereka memainkannya.

Wednesday, May 13, 2015

Cara Permainan Baling Selipar

Peralatan

Permainan baling selipar merupakan sebuah permainan yang amat mudah dan ringkas. Peralatan yang diperlukan hanyalah beberapa pasang selipar. Para pemain perlulah memastikan selipar yang digunakan adalah tidak terlalu keras atau tebal bagi mengelakkan sebarang kemalangan terjadi semasa permainan.


Bilangan Pemain

Bagi memainkan permainan ini, para pemain haruslah dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B terlebih dahulu. Tiada sebarang jumlah spesifik yang ditetapkan kepada jumlah pemain.


Cara Permainan

  • Para pemain haruslah membuat undian untuk memilih kumpulan mana yang akan memulakan permainan (Kumpulan A) dan kumpulan mana yang akan menjadi pihak penjaga (Kumpulan B).
  • Tiga belah selipar disusun menjadi bentuk segi tiga ataupun bentuk piramid.
  •  Sebelah selipar pula digunakan sebagai pembaling.
  • Kumpulan A memulakan permainan dengan menggunakan selipar pembaling bagi meruntuhkan piramid selipar tersebut. Seorang pemain akan memulakan balingan, sekiranya dia tidak berjaya pemain seterusnya dalam kumpulan tersebut perlu membuat balingan hinggalah piramid selipar itu berjaya diruntuhkan
  • Sekiranya piramid selipar berjaya dijatuhkan, ahli Kumpulan A hendaklah segera melarikan diri sambil mencari peluang untuk membina semula piramid selipar tersebut.
  • Manakala, ahli Kumpulan B perlu menjaga dan menghalang Kumpulan A dari membina semula piramid tersebut. Mereka perlulah segera membaling selipar yang digunakan tadi kepada ahli Kumpulan A.
  • Ahli Kumpulan A yang terkena selipar pembaling itu akan dikira mati dan terkeluar dari permainan.
  • Pemenang akan ditentukan berdasarkan :
  1. Sekiranya Kumpulan A berjaya membina semula piramid selipar, mereka akan menang.
  2. Sekiranya semua pemain Kumpulan A mati dibaling selipar, kemenangan berpihak kepada Kumpulan B.
  • Permainan akan diteruskan dengan kumpulan pemenang memulakan permainan.

Pengenalan Permainan Baling Selipar

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum sangat terkenal dengan kepelbagaian budaya dan adat resamnya, baik dari segi pemakaian, makanan dan bahasa. Lantaran kewujudan pelbagai adat resam, maka wujudlah juga pelbagai jenis permainan tradisional yang sering dipermainkan sejak zaman dahulu lagi bagi merapatkan hubungan silaturrahim antara rakyat yang majmuk. Setiap permainan mempunyai daya tarikan yang tersendiri bagi membolehkannya menjadi kegemaran rakyat. Salah satu permainan tradisional yang amat menarik adalah permainan baling selipar.

Permainan baling selipar merupakan salah satu permainan tradisional rakyat yang terkenal sejak zaman dulu lagi. Permainan ini juga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti tuju kasut, tuju selipar dan tikam selipar. Pada zaman dahulu, permainan baling selipar sering dimainkan oleh anak-anak kecil di kampung-kampung. Kebiasaannya pada waktu senggang, kebanyakan kanak-kanak di sesebuah kejiranan akan berkumpul bagi memainkan permainan baling selipar ini. Pada zaman moden ini, permainan ini sering digantikan dengan permainan baling tin atau tuju tin.

Namun, penggunaan selipar dalam permainan ini masih dipraktikkan oleh sebilangan orang. Meskipun terdapat pelbagai kemajuan dalam teknologi terkini, sesetengah individu masih lagi mencari hiburan melalui permainan tradisional ini. Permainan baling selipar bagi mereka bukan sahaja menghiburkan, malah membantu dalam pengamalan gaya hidup sihat memandangkan permainan ini juga memerlukan tenaga yang banyak bagi memainkannya, berbanding permainan di dalam gadget-gadget elektronik yang semakin berleluasa pada masa kini yang tidak mengeluarkan walau setitik peluh. Selain itu, permainan baling selipar juga menggalakkan interaksi dan komunikasi antara satu sama lain, sekaligus mengeratkan hubungan sesama pemain.

Meskipun arus teknologi semakin bergerak deras, semestinya permainan baling selipar tidak akan luput ditelan dek zaman dengan adanya pencinta-pencinta permainan tradisional. Sebagai contoh, pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar negara sering mengadakan pertandingan permainan tradisional sebagai salah satu aktiviti mereka, dan permainan baling selipar adalah salah satunya.
Cara pemain membaling selipar. (Sumber : Google)
Susunan selipar dalam permainan baling selipar. (Sumber : Google)

 Animasi tentang permainan baling selipar. (Sumber : Google)
 

Blog Template by BloggerCandy.com